
Hattan - Farah Dhiya tak berkawan kosong Oleh Nor Fadzilah Baharudin PASANGAN ini sudah beberapa kali dilihat bersama pada beberapa majlis. Mereka bukan sahaja datang bersama, malahan pakaian juga selalunya sedondon. Biarpun dikatakan bercinta tetapi Hattan, 40 dan Farah Dhiya, 22, tidak pernah mahu mengakui keintiman mereka secara terus terang. Mungkin masing-masing ingin membiarkan khalayak membuat tekaan sendiri mengenai hubungan mereka. Ketika menghadiri rakaman Cit Cat Raya Azwan Ali di Hulu Langat, Selangor baru-baru ini, Hattan dan Farah Dhiya datang bersama sekali lagi. Malah sepanjang berada di lokasi, mereka kelihatan begitu mesra dan saling bergurau senda. Jurugambar Mega sempat merakamkan kemesraan pasangan ini secara kandid. Kalau sudah semesra itu, apakah mereka masih tidak mengaku bercinta? “Terpulang pada penilaian anda? Tapi saya mengakui saya memang senang berkawan dengan dia,” jelas Farah Dhiya tatkala diusik mengenai kemesraannya dengan Hattan. Biarpun jarak usia mereka agak jauh namun gadis kacukan British-Melayu itu nampaknya rela menerima Hattan yang merupakan duda anak satu. Agaknya Farah Dhiya lebih menyenangi lelaki matang! Namun apakah mungkin hubungan ini direstui keluarga Farah Dhiya? “Famili saya kenal semua kawan saya. Asalkan saya happy, keluarga tak kisah,” akui Farah Dhiya. Apa pula kata Hattan? “Saya tak berkawan kosong dengan Farah Dhiya. Saya tak nak buang masa. Saya tak main-main dengan Farah Dhiya. Kalau ada rezeki ke arah itu, okey sebab saya ikhlas dengan dia. Anak saya pun boleh terima dia.”